Back To Artikel
category
By Norhasliza Mohd Shafi

July 3, 2025

Surau Madani R&R Seremban Jadi Surau Lebuh Raya Pertama Dibenar Dirikan Solat Jumaat

Surau Madani di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan kini mencatat sejarah sebagai surau pertama di lebuh raya negara yang diberikan kebenaran rasmi untuk mengadakan solat Jumaat.

Surau Madani R&R Seremban Jadi Surau Lebuh Raya Pertama Dibenar Dirikan Solat Jumaat

Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis khas yang berlangsung pada Rabu.

Majlis Pengisytiharan solat Jumaat di R&R Seremban (Arah Selatan) disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan (tengah) pada Rabu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, inisiatif ini adalah hasil kolaborasi antara pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta PLUS.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan ini merupakan salah satu usaha berterusan PLUS dalam meningkatkan mutu perkhidmatan lebuh raya, di samping menyediakan ruang ibadah yang lebih selesa untuk para pengguna.

“Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya, malah turut memudahkan pekerja di R&R serta komuniti sekitar kawasan Labu dan Seremban,” katanya.

Surau Madani itu boleh memuatkan seramai 150 jemaah lelaki dalam satu-satu masa dan direka bentuk dengan ciri-ciri mesra pengguna termasuk kemudahan untuk warga emas dan golongan berkeperluan khas.

Zakaria berkata, pelbagai persediaan telah dilakukan bagi membolehkan solat Jumaat dilaksanakan di surau tersebut, termasuk pemasangan mimbar, mihrab dan sistem pembesar suara.

Selain itu, Jawatankuasa Kariah Penaja yang terdiri daripada 93 orang pemastautin tetap di kawasan R&R juga telah ditubuhkan bagi menguruskan hal-hal berkaitan surau berkenaan.

“Melalui usaha ini, kami berharap dapat memudahkan urusan ibadah pengguna lebuh raya dan komuniti setempat, di samping mengukuhkan peranan lebuh raya bukan sahaja sebagai laluan penghubung destinasi tetapi juga penghubung manusia dengan Tuhan,” jelasnya.

Kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat di surau tersebut akan mula berkuat kuasa pada 4 Julai ini secara bersifat sementara sehingga ada sebarang pembatalan rasmi oleh pihak berkuasa agama.

Beliau turut memaklumkan bahawa solat Jumaat perlu dilaksanakan secara konsisten dan surau tersebut tidak dibenarkan untuk dijadikan tempat solat Tahiyyat al-Masjid atau beriktikaf.

Selain itu, jemaah lelaki yang berada di kawasan R&R Seremban yang berjumlah 40 orang atau lebih adalah diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat di surau Madani tersebut.

Segala aktiviti dan pengurusan surau ini juga tertakluk kepada peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam Negeri Sembilan dari semasa ke semasa.

Sumber: Sinar Harian 

Baca artikel lain juga: Cantiknya Tempat Wuduk & Tandas Masjid Jamek Bagan Jermal, Macam Dalam Hotel

Lagi artikel: Rancang Bina MINI SURAU, RUANG SOLAT Di Rumah Penting Pertimbangkan Perkara Ini

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

The post Surau Madani R&R Seremban Jadi Surau Lebuh Raya Pertama Dibenar Dirikan Solat Jumaat appeared first on Impiana.