Back To Artikel
category
By Norhasliza Mohd Shafi

July 8, 2025

Bil TNB Melambung? Warga Maya Terkejut, Ini Penjelasan Penuh Kiraan Terkini

Bil TNB melambung? Warga maya terkejut, ini penjelasan penuh kiraan terkini. Sejak awal Julai, ramai warga maya meluahkan rasa terkejut apabila melihat bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) mereka mencanak naik, jauh berbeza berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Bil TNB Melambung? Warga Maya Terkejut, Ini Penjelasan Penuh Kiraan Terkini

Hal ini berlaku susulan penguatkuasaan tarif elektrik baharu yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025. Selain itu, TNB turut memperkenalkan sistem Time of Use (TOU) yang membolehkan pengguna menikmati kadar elektrik berbeza mengikut waktu penggunaan  lebih tinggi pada waktu puncak dan lebih rendah pada waktu luar puncak.

Bil ‘Terbang’, Warga Maya Keliru

Sebahagian pengguna media sosial mula menyuarakan kekeliruan, malah ada yang mendakwa bil mereka meningkat sehingga lima kali ganda.

Seorang pengguna bernama Adib, misalnya, mendakwa bil elektriknya kini sudah mencecah RM182, angka yang dianggap terlalu tinggi berdasarkan penggunaan sebelumnya. Hal ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna lain yang turut mempersoalkan sama ada sistem baharu ini membebankan mereka.

“TNB Nak Bankrapkan Kami?”

Pelbagai komen tular, antaranya mempersoalkan sama ada pihak TNB sedang ‘menguji’ kesabaran rakyat. Namun begitu, tidak semua warga maya terburu-buru membuat kesimpulan.

Seorang pengguna bernama Muzammil Kairi tampil memberi penjelasan secara terperinci mengenai kaedah pengiraan bil elektrik berdasarkan tarif baharu bermula Julai ini.

Ini Cara Betul Kira Bil TNB

Muzammil menjelaskan bahawa pengguna tidak seharusnya panik tanpa membuat semakan menggunakan kalkulator bil yang disediakan oleh TNB. Menurutnya, bagi pengguna domestik biasa (tanpa TOU), inilah kiraan yang perlu difahami:

Contoh penggunaan: 182 kWh
Kadar caj semasa:
– Caj tenaga: RM0.2703
– Caj kapasiti: RM0.0455
– Caj rangkaian: RM0.1285

Pengiraan:

Caj tenaga: 182 x 0.2703 = RM49.19

Caj kapasiti: 182 x 0.0455 = RM8.28

Caj rangkaian: 182 x 0.1285 = RM23.39

Jumlah sebelum diskaun: RM80.81

Namun, bagi pengguna dengan penggunaan 1-200 kWh, mereka layak menerima insentif cekap tenaga sebanyak RM0.25 bagi setiap kWh.

Diskaun: 182 x 0.25 = RM45.50
Bil akhir selepas diskaun: RM80.81 – RM45.50 = RM35.31

Perbandingan Dengan Sistem Lama

Sebelum ini, tiada diskaun ditawarkan dan kadar bagi 1–200kWh ialah RM0.218:

182 x 0.218 = RM39.68

Jelasnya, walaupun bil lama sedikit lebih rendah, perbezaannya tidak terlalu ketara, malah sistem baharu turut memberi potongan mengikut julat penggunaan.

Namun begitu, Muzammil turut mengingatkan bahawa caj AFA (Adjustment Fuel Cost) belum dimasukkan dalam kiraan ini dan hanya akan dikira selepas 1 Julai. Maka, pengguna perlu menunggu kiraan akhir penuh untuk mendapatkan jumlah sebenar.

“Gunalah Kalkulator TNB, Jangan Terus Panik”

Pesannya kepada warga maya, elakkan membuat andaian terburu-buru dan semak sendiri bil menggunakan kalkulator rasmi yang disediakan oleh TNB.

“Tak logik kalau guna 182kWh tapi kena bayar RM182. Kiraan mudah pun dah boleh bezakan,” katanya.

Kesimpulannya, pengguna digesa untuk lebih teliti dan memahami struktur bil baharu sebelum membuat kesimpulan. Langkah terbaik? Gunakan kalkulator TNB dan semak sendiri berdasarkan penggunaan sebenar.

Sumber: Vocket dan Sinar Harian 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

The post Bil TNB Melambung? Warga Maya Terkejut, Ini Penjelasan Penuh Kiraan Terkini appeared first on Impiana.